Thursday, 23 April 2015

PEMBINAAN KANTIN RUMAH NUR IMAN

Assalamualaikum,

Kira-kira sebulan yang lalu pada  23 Mac 2015, kerja meratakan tanah untuk membina sebuah bangunan kantin yang bakal menjadi dewan makan untuk pelajar.  Proses pembinaan ini dapat berjalan dengan lancar.   Pembinaan ini hasil daripada sumbangan orang ramai yang ingin melihat Rumah Nur Iman berkembang dengan baik demi untuk mencari keselesaan kepada penghuninya.  Tiada perkataan yang layak dilafazkan hanya ucapan terima kasih yang tidak terhingga dari kami kepada penyumbang yang tanpa jemu menyalurkan bantuan dan pertolongan.  Moga ini sumbangan dan pelaburan buat kita untuk bekalan di akhirat sana.  Moga Allah mengampun dan merahmati kita semua. Terima kasih kepada penyumbang.  Sumbangan tuan/puan amat bermakna buat kami.  Kami menyalurkan kepada yang selayaknya. Kami masih memerlukan bantuan dan sokongan dari tuan/puan. jika ada yang sudi dapatlah berhubung dengan pihak kami.








Saturday, 21 March 2015

RUMAH NUR IMAN CAWANGAN ROMPIN

Rumah Nur Iman bakal membuka cawangan yang pertama di Rompin Pahang pada bulan Mei nanti Insya Allah. Seorang hamba Allàh telah mewakafkan sebuah rumah pusaka di E1/880 Kg Bahgia Kuala Rompin. Kerja membersih dan mengemas telah dijalankan pada 15 Mac  2015 yang lalu bersama staf Nur Iman,  penduduk setempat dan kelab belia surau Pakr Kempadang Perdana Kuantan.  Kepada yang ingin menginfaqkan harta benda  dan wang ringgit untuk saham akhirat, inilah masanya. Harta yang kita wakafkan itu akan digunakan sepanjang masa oleh anak-anak yatim dan miskin di sini. Sekiranya ada yang ingin menyumbang bolehlah berhubung dengan pihak kami.

Monday, 2 March 2015

SUASANA BARU RUMAH NUR IMAN

Suasana dan wajah baru Rumah Nur Iman.  Kerja-kerja menurap sekitar kawasan Rumah Nur Iman Banin dan Banat hampir siap. Sekalung penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan. Semoga Allah memperteguhkan iman dan takwa kita untuk terus membantu kami di Rumah Nur Iman.  Biar kita dari latar belakang apa sekali pun sama ada miskin atau kaya, tua atau muda hanya takwa yang membezakan kita.  Dengan takwa kita subur untuk  membantu orang lain yang lebih memerlukan.  Moga amalan ini bisa membawa kita ke syurga Allah.  Mungkin ini juga dapat mengetuk pintu-pintu hati insan lain untuk terus membantu anak-anak yatim, fakir miskin, insan yang memerlukan.

Thursday, 15 January 2015

SESI BARU PERSEKOLAHAN TAHUN 2015

Sesi persekolahan tahun 2015 baru bermula.  Anak-anak Rumah Nur Iman sudah mula mendaftar masuk pada 10 Januari 2015. Musim ini pertambahan bilangan keseluruhan seramai 53 orang itu 17 orang perempuan (banat) dan 36 orang lelaki.(banin).  Bagi pelajar banat mereka akan merasmikan bangunan baru asrama banat.  Kini Rumah Nur Iman berada dalam satu kawasan tidak seperti dulu lagi.  Sempena dengan tahun baru ini dengan pendaftaran pelajar yang ramai sudah tentu kos yang tinggi terpaksa kami tanggung.  Oleh yang demikian kami mengalu-alukan sekiranya ada penderma yang sudi untuk menaja pakainan dan peralatan sekolah,  barangan peribadi, bag sekolah dan lain-lain.  Gambar-gambar suasana keceriaan sewaktu pendaftaran menutupi kisah duka mereka.  Seolah-olah tiada apa yang berlaku.  Marilah kita bersama menyuburkan pahala dengan sedekah/fidya/zakat/derma/wakaf kepada Rumah Nur Iman.









Wednesday, 10 December 2014

PERPINDAHAN ASRAMA BANAT NUR IMAN KE LOKASI BARU















 Asrama Banat Nur Iman akan mula diduduki pada 27 Disember 2014.  Musim cuti persekolahan kami menggerakan operasi gotong royong memindah barangan dan kelengkapan asrama.  Terima kasih kepada yang sudi membantu yang terdiri dari pelajar UIAM Kuantan Kelas Community Service. Jabatan Pertahanan Awam Daerah Kuantan, belia surau PAKR dan anak-anak penghuni Nur Iman.  Sebahagian barangan yang besar dan berat telah dipindahkan.  Perkembangan muktakhir, elektrik telah dipasang dan asrama tersebut telah bersedia untuk menerima penghuninya.  Bangunan asrama tersebut adalah hasil sumbangan syarikat koprat dan orang perseorangan.  Terima kasih kepada semua.  Allah telah mengatur segalanya.  Memilh orang-orang tertentu untuk jadi penghuni di sini dan Allah juga yang mengatuur pertemuan dan pertautan ukhwan ini dan Allah jua yang menggerakkan hati-hati kita untuk kita terus menyumbang membantu golongan ini.  Moga ini adalah saham untuk alam lain dan alam akhirat nanti.